Monday 17 October 2011

5 Golongan Orang yang Mengerjakan Haji


Golongan Pertama: Haji di Hujung Usia
Golongan ini menunggu hingga usia lanjut untuk mengerjakan haji kerana menganggap apabila telah mengerjakan haji nanti tidak boleh lagi untuk berfoya-foya, meninggalkan solat dan terlibat dengan maksiat. Kalau boleh biarlah hujung usia itu dipenuhi dengan “husn al-khatimah”.
Risiko golongan ini ialah kadangkala Allah s.w.t. menjemputnya terlebih awal sebelum sempat mengerjakan haji. Kalaupun sempat, mereka mengerjakan haji dalam keadaan yang tidak sihat dan tidak lagi dapat mengecapi nikmat badan yang cergas untuk beribadah.


Golongan Kedua: Haji Penghapus Dosa
Golongan ini mengerjakan haji setiap tahun untuk meminta ampun kepada Allah s.w.t. di hadapan Kaabah atas segala dosa yang dilakukannya selama setahun yang berlalu. Golongan ini selalunya terdiri daripada warga korporat yang berkemampuan untuk mengerjakan haji setiap tahun namun sering terlibat dengan dosa-dosa yang susah untuk dielakkan dalam dunia korporat seperti dosa riba, pergaulan bebas, rasuah, majlis maksiat, meninggalkan solat dan seumpamanya.


Golongan Ketiga: Haji Melancong
Golongan ini memilih musim haji di Makkah dan Madinah untuk melancong atau berehat di luar negara dari destinasi popular dunia yang lain. Kalau bukan musim haji mereka akan mengerjakan umrah.


Golongan Keempat: Haji Status
Golongan ini sering mengira kekerapan mereka mengerjakan haji untuk mengukur status dan menghiasi tajuk perbualan harian.


Golongan Kelima: Haji Ikut-Ikutan
Golongan ini ialah yang terpaksa mengerjakan haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab, kumpulan pengajian atau jemaah tertentu.
Dalam golongan mana pun kita termasuk, kita harus membetulkan niat dan matlamat kita mengerjakan haji iaitu untuk menuju jalan Allah. Kita harus bersyukur kerana kita telah dipilih oleh Allah s.w.t. menjadi tetamuNya dengan mengunjungi Baitullah untuk menunaikan fardu haji. Paling penting ibadah haji yang akan dikerjakan itu menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu pengajaran dan pedoman untuk meningkatkan iman dan amal kita seterusnya bagi menuju jalan yang diredhai Allah untuk kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.
Semoga kita semua mendapat haji yang mabrur, amin.

Himpunan Hadis Harian JAKIM


Kategori : AKIDAH TauhidIman  
Tajuk :
Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim
Hadith :
Dari Abdullah, katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami:” Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau:” Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata:” Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”
 
(Muslim)



 
Huraian
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.

Sumber : e-Hadith

Himpunan Hadis Harian JAKIM



Kategori : AKIDAH TauhidIman  
Tajuk :
Kelebihan Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!
Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”
 


 
Huraian
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya). Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil. Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)






sumber : e-Hadith

Himpunan Hadis Harian JAKIM


Kategori : AKIDAH Akhlak  
Tajuk :
Roh Harum Dan Ruh Busuk
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad :”Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “ Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:”Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya:” Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”
 
(Muslim)



 
Huraian
Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.


sumber : e-Hadith

Himpunan Hadis Harian JAKIM


Kategori : AKIDAH Usuluddin  
Tajuk :
Petanda-petanda Hampirnya Kiamat
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"
 
Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a


 
Huraian
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"

sumber : e-Hadith

Himpunan Hadis Harian JAKIM


Kategori : AKIDAH Akhlak  
Tajuk :
Keistimewaan Memeluk Islam !
Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
 
(al-Bukahri)


 
Huraian
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

sumber : e-Hadith

30 Pesanan Imam Syafie


1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
                                                          
2. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3. Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.

4. Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.

5. Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.

6. Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

7. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8. Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9. Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.

10. Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.

11. Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12. Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13. Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

14. Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.

15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16. Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.

17. Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.

18. Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19. Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.

21. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.

22. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.

24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.

25. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.

26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.

27. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.

28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.

29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.



Semoga bermanfaat.


Dipetik daripada buku Imam Syafie - Pejuang Kebenaran karangan Abdul Latip Talib